Sunday, April 5, 2009

Ramai alami tekanan mental akibat hilang pekerjaan

PETALING JAYA: Bilangan mereka yang mengalami tekanan mental akibat hilang pekerjaan mula menampakkan peningkatannya, kata Ketua Jabatan Psikiatri, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Prof Dr Mohd Hussain Habil. Beliau berkata dalam tempoh dua bulan lalu, jabatan itu mencatat peningkatan 20 peratus pesakit yang ingin mendapatkan rawatan bagi masalah tersebut. Beliau menjangka jumlah ini akan bertambah pada bulan-bulan akan datang sekiranya keadaan ekonomi terus muram dan semakin banyak pekerja ditamatkan perkhidmatan.
Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) melaporkan lebih 26,000 pekerja telah ditamatkan perkhidmatan sejak bulan lalu. Mohd Hussain berkata, perkara ini sepatutnya menyedarkan kerajaan betapa pentingnya isu berkenaan ditangani segera sebelum ia mencetuskan masalah sosial yang lebih besar. Katanya, mereka yang dibuang kerja bukan hanya perlu diberi pekerjaan lain, tetapi juga dipenuhi keperluan mereka daripada segi sosial dan emosi.
Antara cara yang boleh dilakukan kerajaan bagi menangani isu ini ialah membentuk kumpulan sokongan sebagai tempat bagi pekerja terbabit mendapatkan bantuan profesional, katanya. Beliau mencadangkan Kementerian Sumber Manusia meminta Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang bertanggungjawab bagi keselamatan sosial pekerja, menubuhkan klinik sokongan di cawangannya. Mohd Hussain berkata, penubuhan klinik ini tidak memerlukan perbelanjaan besar kerana ruang untuk menempatkannya sudah sedia ada dan apa yang perlu dilakukan ialah mendapatkan khidmat juru kaunseling, sama ada daripada universiti atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Beliau berkata, sekiranya tindakan segera tidak diambil bagi memenuhi keperluan emosi mereka yang diberhentikan kerja, negara perlu menanggung akibat yang besar iaitu dalam bentuk kekacauan sosial dan keruntuhan rumah tanggi. Mohd Hussain berkata, ini kerana seseorang yang mengalami tekanan mental boleh membawa kesengsaraan kepada anggota keluarganya dan masalah ini seterusnya akan memberi kesan buruk terhadap jiran dan masyarakat. Secara umumnya, katanya, bagi mengurangkan kes stres akibat kehilangan pekerjaan, pekerja perlu dinasihati supaya tidak terlalu bersedih kerana dibuang kerja kerana ramai yang lain juga mengalami nasib sepertinya, berdoa mengikut ajaran agama masing-masing, mendapatkan sokongan daripada rakan, sanak-saudara dan anggota keluarga dan berusaha menguatkan semangat bagi menghadapi keadaan yang ada secara objektif serta mencari penyelesaian secara baik. Mohd Hussain, bagaimanapun, berkata keadaan ekonomi semasa memberi peluang yang amat baik kepada negara dalam usahanya melahirkan masyarakat penyayang. - Bernama

No comments: