UMAT manusia sentiasa ditimpa musibah, malah sesetengah secara berturut-turut. Dari pandangan Islam, setiap musibah sama ada berupa bencana alam atau akibat kelalaian manusia, semua terjadi kerana ditakdirkan Allah s.w.t.Berat mata memandang, tetapi memang tak seberat bahu memikul. Suka atau tidak, kehidupan harus terus berjalan.Oleh itu, pasti ada hikmah yang dapat diambil daripada pelbagai kejadian menimpa kerana Dia yang Maha Adil dan Penyayang pasti tidak akan berbuat aniaya.Ibnu Qayyim berkata: “Andaikata kita dapat menggali hikmah Allah yang terkandung dalam ciptaan dan urusan-Nya, maka kita akan dapati tidak kurang ribuan hikmah. Namun akal kita sangat terbatas. Pengetahuan kita terlalu sedikit dan ilmu semua makhluk akan sia-sia berbanding ilmu Allah sebagaimana sinar lampu yang sia-sia di bawah sinar matahari. Dan ini pun hanya kira-kira. Yang sebenarnya tentu lebih daripada sekadar gambaran ini.”
Antara hikmah Allah yang dapat dikutip ialah:
Sabar menghadapi kesulitan dan kesusahanAllah berfirman bermaksud: “Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar (iaitu) orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan ‘Innalilahi wainna ilaihi rojiun’ (Sesungguhnya semua berasal daripada Allah dan akan kembali kepada-Nya). Mereka itulah mendapat keberkahan yang sempurna dan rahmat daripada Rabb mereka dan mereka itulah orang yang mendapat petunjuk.” (Surah Al-Baqarah: Ayat 155-157)
Menghapuskan dosa dan kesalahan
Allah berfirman yang bermaksud: “Dan apa saja musibah yang menimpamu maka adalah disebabkan perbuatan tanganmu sendiri dan Allah memaafkan sebahagian besar (daripada kesalahanmu).” (Surah Asy-Syura: Ayat 30)Daripada Abu Hurairah dan Abu Sa’id r.a, Rasulullah s.a.w bersabda bermaksud: “Tidaklah seorang Muslim ditimpa keletihan, penyakit, kesusahan, kesedihan, gangguan, kegundahan hingga duri yang menusuknya melainkan Allah akan menghapuskan sebahagian daripada kesalahannya.” (Hadis Riwayat: Bukhari)
Dicatat sebagai kebaikan dan darjat ditinggikan
Sabda Rasulullah bermaksud: “Tidaklah seorang Muslim tertusuk duri atau yang lebih daripada melainkan ditetapkan baginya dengan sebab itu satu darjat dan dihapuskan pula satu kesalahan daripadanya.” (Hadis Riwayat Muslim)
Jalan menuju syurga
Daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda bermaksud: “Syurga itu dikelilingi dengan hal yang tidak disukai dan neraka itu dikelilingi pelbagai syahwat.” (Hadis Riwayat: Bukhari dan Muslim)Allah berfirman dalam sebuah hadis qudsi bermaksud: “Tidaklah ada suatu balasan yang lebih pantas di sisi-Ku bagi hamba-Ku yang beriman, jika Aku mencabut nyawa kesayangannya daripada penduduk dunia kemudian dia bersabar atas kehilangan orang kesayangnnya itu, melainkan syurga.” (Hadis Riwayat: Bukhari)
Membawa keselamatan daripada api neraka
Sabda Rasulullah bermaksud: “Janganlah kamu mencaci dan memaki penyakit demam kerana sesungguhnya (dengan penyakit itu) Allah akan menghapuskan dosa anak Adam sebagaimana tungku api menghilangkan kotoran besi.” (Hadis Riwayat: Muslim)
Mengembalikan hamba kepada Rabbnya dan mengingatkan kelalaiannya
Allah berfirman: “Dan sesungguhnya Kami mengutus Rasul kepada umat sebelum- mu, kemudian Kami timpa mereka dengan kesengsaraan dan kemelaratan supaya mereka bermohon (kepada Allah) dengan tunduk dan merendahkan diri.” (Surah Al-An’am: Ayat 42)
Mengingat nikmat Allah yang lalu dan yang ada
Seorang penyair berkata: “Seseorang tidak mengenali tanda sihat selagi dia belum tertimpa sakit. Mengingat keadaan saudara ditimpa musibahAntara hikmah Allah, Dia menimpakan cubaan berupa penyakit dan penderitaan kepada orang mukmin pada waktu tertentu, agar dia mengingat saudaranya yang ditimpa kesulitan.
Mensucikan hati
Ibnu Qayyim r.a berkata: “Hati dan roh dapat mengambil manfaat daripada penderitaan dan penyakit adalah urusan tidak dapat dirasakan kecuali jika di dalamnya ada kehidupan. Kebersihan hati dan roh tergantung kepada penderitaan badan dan kesulitannya.
” (Tuhfatul Mariidh)
Cubaan dan ujian adalah nikmat
Rasullullah menyebutkan bahawa nabi ditimpa cubaan berupa penyakit, kemiskinan dan yang lainnya kemudian baginda bersabda bermaksud: “Dan sesungguhnya seorang antara mereka benar-benar gembira kerana mendapat cubaan seperti seorang merasa gembira kerana mendapatkan kelapangan.” (Hadis Riwayat: Ibnu Majah)